GUA MUSANG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan menggerakan seramai 60 anggota untuk bertugas setiap hari sepanjang tempoh seminggu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd. Adzhar Mujab berkata, kesemua anggota tersebut akan menjalankan penugasan di seluruh negeri mengikut daerah masing-masing.
Menurutnya, penugasan itu merupakan rutin tahunan bagi memastikan kelancaran tugasan menyelamat sepanjang tempoh puncak itu berjalan dengan baik.
“Alhamdulillah, semua anggota masih lagi berada di dalam keadaan bersedia untuk apa-apa penugasan. Pada masa sama, APM Kelantan turut memerlukan penglibatan pelbagai agensi lain sepanjang penugasan ini.
“Kerjasama ini supaya tidak wujud kelompongan dalam satu-satu tugasan dan berharap ia dapat dijalankan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ibrahim Hentian Gua Musang di sini, semalam.
Sebelum itu seramai 70 anggota APM Gua Musang menerima cenderahati dan duit raya yang disumbangkan oleh Kolonel Bersekutu Pertahanan Awam (PA) Che Ibrahim Che Ismail.
Mohd. Azhar memberitahu, sepanjang Aidilfitri anggota yang bertugas secara bergilir-gilir.
Katanya, pada masa mereka perlu berada dalam keadaan siap sedia untuk dipanggil ke lapangan pada bila-bila masa jika khidmat diperlukan.-UTUSAN











