Anugerah Biduanita bukan keutamaan pada waktu ini

Anugerah Biduanita bukan keutamaan pada waktu ini

Datuk Sheila Majid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi senior, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, 60, berpendapat, isu lebih besar yang membelenggu penggiat seni tanah air se­perti masalah royalti seharusnya menjadi fokus utama Kementerian Komunikasi pada masa ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aishah berkata, Menterinya, Fahmi Fadzil harus cakna isu mana yang perlu diutamakan berbanding mengusulkan cadangan penyanyi mana lebih layak diberikan gelaran biduanita negara.

“Banyak lagi benda lain harus ditangani. Bagaimanapun saya fikir, bagus juga kerana itu menunjukkan keprihatinan kerajaan tentang industri seni dan anak-anak seni.

“Cuma, kena berbanding fokus kepada satu orang, mungkin lebih bagus sasar bagaimana mahu tingkatkan kemajuan anak seni secara menyeluruh. Kita sebagai anak seni nak tengok pemimpin kita berbuat sesuatu untuk industri.

“Bagi saya, banyak isu yang kerajaan perlu tangani. Isu royalti pun tak selesai lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selain itu, kata Aishah, secara peribadi dia menerima baik cadangan untuk penganugerahan gelaran biduanita sama ada terhadap Datuk Seri Siti Nurhaliza atau pun Datuk Sheila Majid memandangkan kedua-duanya la­yak.

Bagaimanapun, katanya, penganugerahan itu mungkin bukan pada waktu sekarang yang disifatkan tidak sesuai.

“Dua-dua pun pada saya layak. Tetapi dengan keadaan semasa sekarang, ekonomi pun tengah tidak menentu dan macam-macam isu lain, mungkin kerajaan kena fokus pada perkara asas dahulu,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN