TUMPAT: Seorang anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan (PGA) berdepan detik cemas selepas nyaris dirempuh sebuah kereta yang dipandu penyeludup dalam kejadian Kampung Pulau Ular, di sini semalam.
Dalam pukul 7.10 pagi itu berlaku ketika anggota berkenaan cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin di sektor Kuala Jambu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah jambatan Pulau Ular menghala ke Kampung Tualang.
Menurutnya, melihat situasi itu anggota bertugas telah bertindak mengejar kereta tersebut sebelum berhenti di bahu jalan di kawasan lapang berhampiran Pos Kampung Pulau Ular.
“Anggota tersebut telah menghampiri kereta tersebut untuk tujuan pemeriksaan namun secara tiba tiba pemandu kereta itu bertindak mengundurkan secara melulu sekali gus mengundang bahaya.
“Susulan itu anggota PGA telah melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan bagi tujuan menghentikan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, bagaimanapun suspek bertindak meneruskan pemanduan dan melarikan diri sebelum meninggalkan kereta tersebut sejauh 1 kilometer dari lokasi asal kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 22 tong plastik berisi minyak petrol yang dipercayai hendak diseludup ke negara jiran.
“Siasatan awal mengesahkan bahawa pemilik asal kenderaan berada di Johor dan usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dilakukan,” ujarnya.-UTUSAN










