PETALING JAYA: Anak-anak kepada pengawal peribadi, Mohd. Nur Hadith Zaini yang cedera parah akibat terkena tembakan ketika melindungi majikannya dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hanya dapat berhubung dengan bapa mereka melalui panggilan video.
Isterinya, Siti Noraida Hassan berkata, dia dan beberapa waris terdekat hanya dibenarkan melawat sejak suaminya yang lebih dikenali sebagai Along dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan.
Katanya, dua anaknya sudah tidak sabar bertemu bapa mereka selepas dimaklumkan mengenai perkembangan suaminya itu.
“Anak-anak gembira dan sedih. Mereka nak jumpa papa mereka, tetapi saya belum bawa lagi. Hanya berhubung melalui panggilan video sahaja buat masa ini.
“Mungkin lepas Papa mereka ditukar ke wad biasa, baru saya bawa (anak-anak) (untuk berjumpa),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, perkara pertama yang ditanya Mohd Nur Hadith adalah keluarga dan anak-anaknya.
Dalam kejadian 14 April lalu, mangsa cedera dalam kejadian tembakan di Terminal 1.
Dua das tembakan dilepaskan suspek ke arah isterinya telah mengenai bahagian perut mangsa.
Suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu kemudian ditahandi Kota Bharu, Kelantan, 15 April lalu oleh polis. – UTUSAN









