Suspek kes tembak KLIA 1 tiba di Mahkamah Sepang untuk didakwa

Suspek kes tembak KLIA 1 tiba di Mahkamah Sepang untuk didakwa

HAFIZUL Hawari tiba di Mahkamah Sepang dari lokap IPD KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 14 April lalu tiba di Mahkamah Sepang di sini, untuk pendakwaan.

Hafizul Hawari, 38, tiba pukul 8.14 pagi tadi dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan memakai baju lokap dan dikawal ketat oleh polis.

Difahamkan, Hawari akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Semalam, Hafizul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pendakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Bagaimanapun, Hafizul mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tujuh pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan semalam.

Tertuduh membuat pengakuan itu sebaik setiap pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan hakim Nik Habri Muhamad.

Kes dikendalikanTimbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, Hafizul ditahan reman selama seminggu bermula 16 April sehingga 22 April lalu sebelum disambung reman lima hari.

Pada 14 April lalu, suspek yang juga pengurus syarikat agensi pelancongan melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau Farah Cie di balai ketibaan KLIA 1.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar, manakala satu lagi tembakan mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis di Kota Bharu pada 15 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN