PETALING JAYA: Tindakan menyambung reman lima hari lagi terhadap suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu dibuat untuk melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan itu perlu dilengkapkan bagi membolehkan kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada minggu ini.
Kata beliau, siasatan kes itu masih belum dilengkapkan menyebabkan pihaknya membuat permohonan sambung reman semalam.
“Ya, suspek sudah disambung reman lima hari lagi pada pagi tadi bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh reman ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri dari Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan sambungan reman terhadap Hafizul Hawari, 38, bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Reman itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam kejadian pukul 1.20 pagi 14 April lalu, dua das tembakan dilepaskan suspek di balai ketibaan di aras tiga KLIA.
Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari tanah cuci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.
Bagaimanapun, satu das tembakan itu mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan suspek berjaya ditahan di Jalan Bayam, Kota Bharu selepas 36 jam melarikan diri. – UTUSAN










