PETALING JAYA: Seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang diseru mengamalkan sifat ‘maaf zahir batin’ ke tahap lebih tinggi bagi melawan kebencian dan provokasi antara kaum dan agama.
Seruan itu dilakukan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan mereka sebagai masyarakat sivil dan media dengan melancarkan pergerakan dikenali sebagai #MZB365.
Gabungan tersebut dalam satu kenyataan berkata, amalan memohon dan memberi kemaafan terkandung dalam ajaran Islam dan juga sistem nilai Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme serta etnik di Sabah, Sarawak dan Semanjung.
Katanya, ungkapan maaf zahir batin tidak hanya terhad ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri sebaliknya boleh diamalkan sepanjang tahun dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Mari kita lazimkan amalan memohon dan memberikan maaf zahir batin sepanjang tahun, tidak terhad kepada Hari Raya Aidilfitri dan Syawal, tetapi dari awal Muharam sampai ke akhir Zulhijjah, dari 1 Janauri sampai ke 31 Disember, sepanjang 365 hari setahun.
“Mari kita jayakan pergerakan #MZB365 ini kerana kita sebut manusia berbuat salah setiap hari, perlu insaf dan memohon maaf setiap hari, dan juga bersedia memaaf setiap hari.
“Jika kita segan memohon maaf, maka pembinasaan yang kita lakukan sama ada berniat atau tidak kerana kejahatan mahupun kekhilafan, tak kira besar atau kecil akan berkekalan dan merosakkan hubungan dan silaturahim antara insan,” katanya.
Antara 13 NGO tersebut adalah Projek Sama; Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH); G25; Architect of Diversity (AOD); Forum Profesional Muslim Muslim (MFP) dan Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam (ACCIN).
Turut sama adalah Gabungan Bertindak Malaysia (GBM); IDEAS dan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot); Persatuan Pemimpin Buddha Malaysia (BMSM) dan Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia.
Mengulas lanjut, gabungan itu berkata, memaafkan pihak lain tidak bermakna kita menjadi lebih lemah dan secara tidak sedar menggalakkan lebih banyak salah laku.
Ini sudahnya bukan untuk berkompromi kedaulatan undang-undang. Apabila pesalah melanggar undang-undang, pesalah tetap menghadapi pengadilan dan hukumannya. – UTUSAN











