5,000kg makanan, minuman diselamatkan

5,000kg makanan, minuman diselamatkan

J. ARUL Kumar diiringi Hazahar (kiri) mengagihkan bungkusan lemang dan rendang kepada orang ramai pada Program Ihya Ramadan Bersama Jabatan, Agensi dan Masyarakat Setempat di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di Seremban. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tujuh Bazar Ramadan di negeri ini membuang kira-kira 5,643 kilogram (kg) makanan dan minuman dianggarkan bernilai RM62,073.44 sehingga Jumaat lalu.

Makanan dan minuman itu bagaimanapun berjaya dise­lamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan hasil kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran MySafe Food anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Hazahar Hashim ber­kata, jumlah berkenaan membabitkan peningkatan 24 peratus berbanding tahun lalu.

“Pada tahun lalu, sebanyak 4,547.10 kg makanan dan minuman dengan anggaran nilai sebanyak RM50,279.17 diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.

“Program serta kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran MySafe Food yang dilancarkan pada 14 Mac lalu bertujuan menasihatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak membazir dan mengumpulkan makanan yang tidak terjual diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan Bersama Jabatan, Agensi dan Masyarakat Setempat di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di sini.

Pada majlis itu, turut diadakan, pengagihan sebanyak 3,000 bekas makanan berisi lemang dan rendang kepada orang ramai di samping program Trash To Cash, Free Market serta Pe­ngumpulan Minyak Masak Terpakai dan Fabrik Terpakai Bandar Baru Nilai.

Hazahar dalam pada itu berkata, pada program itu, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak 200 kg minyak terpakai dengan nilai diperoleh sebanyak RM600. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×