40 ahli keluarga masih harap boleh ‘terbang’ ke Sabah

40 ahli keluarga masih harap boleh ‘terbang’ ke Sabah

Penumpang pesawat AirAsia beratur di kaunter bagi penjadualan semula penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Brunei berikutan pembatalan penerbangan akibat gunung berapi di Indonesia meletus semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hasrat 40 ahli keluarga menghadiri majlis perkahwinan di Kota Kinabalu, Sabah dijadual Sabtu ini terpaksa dilupakan jika penerbangan semula ke destinasi itu terus tertangguh.

Ia berikutan keputusan syarikat penerbangan AirAsia yang mengumumkan pembatalan pe­nerbangan ke Sabah dan Sarawak ekoran letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia, semalam.

Seorang ahli keluarga itu, Faridah Hanim, 51, berkata, dia mengharapkan 50 ahli keluarganya dapat ke Kota Kinabalu selewat-lewatnya hari ini (semalam) bagi membolehkan mereka menghadiri majlis perkahwinan itu.

“Namun 10 orang daripada kami sahaja berjaya terbang awal pagi dan kini baki 40 orang lagi terkandas,” katanya ketika ditemui di Terminal 2, KLIA di sini, semalam.

Kumpulan tersebut adalah antara ribuan penumpang yang terkandas di KLIA selepas Air­Asia, Malaysia Airlines dan Batik Air membatalkan penerbangan ke Sabah dan Sarawak susulan letusan gunung berapi.

Tinjauan mendapati penumpang terjejas dilihat masih berkumpul di ruang pelepasan bagi mendapatkan perkemba­ngan terkini selain menunggu penjadualan semula penerba­ngan termasuk ke Brunei.

Difahamkan, antara penerbangan AirAsia terjejas melibatkan laluan ke Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan, Labuan, Miri, Sibu, Bintulu, Kuching serta Brunei. Pembatalan itu dijangka sehingga pukul 8 pagi hari ini.

Seorang pelajar, Nur Hanis Fakhrul Nizam, 22, berkata, dia terpaksa menunggu di KLIA selepas penerbangan ke Kuching pada pukul 1.45 petang dibatalkan.

Menurutnya, dia hanya me­ngetahui tentang pembatalan penerbangan itu selepas memasuki balai berlepas apabila dimaklumkan oleh penumpang yang tiba dari Kuching.

“Jadi, saya begitu berharap agar dapat segera pulang ke Kuching untuk memulakan pe­ngajian pada Isnin ini.

“Buat masa ini, saya akan menumpang di rumah ibu saudara di Gombak bagi menunggu maklumat lanjut penerbangan,” katanya yang berasal dari Bera, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×