KLUANG: Walaupun hanya menjalani hukuman selama 10 bulan, namun tempoh itu dianggap satu pengalaman yang amat memeritkan dan menjadi pengajaran sebagai panduan hidup pada masa akan datang.
Seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Boy, 42, berkata, walaupun hanya memiliki 22 gram dadah jenis syabu, namun hukuman yang yang diterimanya meninggalkan kesan mendalam yang akan dibawa hingga akhir hayat.
Akibat kesalahan itu, dia dikenakan hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan membuatkan dirinya menginsafi kesalahan dilakukan dan bertekad tidak akan menyentuh bahan terlarang itu lagi selepas dibebaskan, iaitu kira-kira enam bulan lebih awal dari tempoh sebenar tahanan.
“Seminggu tidur meniarap selepas menerima hukuman sebat dan kesakitan dirasakan ketika sebatan hanya Allah sahaja yang tahu.
“Demi Allah untuk keluarga tercinta, kesalahan ini tidak akan diulangi lagi dan akan mencari rezeki halal untuk menyara keluarga bersama isteri,” katanya.
Boy merupakan salah seorang daripada 77 tahanan yang dibebaskan dalam Majlis Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di Penjara Kluang, di sini hari ini.
Dia bersyukur kerana dibebaskan kira-kira seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan akan merayakannya bersama keluarga yang amat bermakna baginya.
“Dengan parut kesan sebatan yang kekal menjadi tanda ingatan pada saya untuk tidak mengulangi kesalahan ini dan akan menjadikannya sebagai panduan kepada rakan-rakan agar tidak melakukannya,” katanya. – UTUSAN











