10.85 juta daftar PADU menjelang hari terakhir

10.85 juta daftar PADU menjelang hari terakhir

Penduduk Flat Sri Aman mendaftar Pangkalan Daftar Utama (PADU) sempena Lawatan Mesra Datuk Bandar Petaling Jaya ke flat berkenaan, semalam. – UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 10.85 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar dan mengemaskini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang hari terakhir setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Bagi Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff , kerajaan akan meneruskan rancangan untuk memperkenalkan subsidi bersasar walaupun hanya separuh penduduk dewasa mendaftar dalam PADU.

“Walaupun hanya separuh penduduk dewasa mendaftar dalam PADU, kerajaan akan tetap terus memperkenalkan subsidi bersasar.

“Hal ini kerana kerajaan tidak mahu melewatkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan juga mengurangkan ketirisan serta pembaziran dalam sistem subsidi sedia ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ahmed Razeman turut berkata, matlamat kerajaan akan tercapai akhirnya apabila rakyat melihat keberkesanan PADU apabila kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar bagi memberikan bantuan kepada mereka yang sudah mendaftar.

“Pada ketika itulah, rakyat Malaysia yang tidak mendaftar PADU akan mula mendaftar bagi mendapatkan bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, matlamat PADU yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah tidak jelas terutamanya kepada kumpulan yang disasarkan.

Katanya, terdapat rakyat Malaysia yang tidak mahu mendaftar PADU disebabkan mereka merupakan golongan yang tidak memerlukan bantuan subsidi kerajaan atau mereka berasa curiga tentang keselamatan data dan maklumat peribadi mereka akan disebarkan.

“Kerajaan perlu perbanyakkan maklumat dan komunikasi bersama rakyat dengan bahasa mudah dan juga perlu ada infografik untuk menerangkan manfaat yang diperolehi oleh individu apabila mendaftar untuk PADU dan juga jaminan tentang integriti serta keselamatan data,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN