KUALA LUMPUR: Saksi utama kes rasuah Lim Guan Eng menafikan pernah menuntut agar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengembalikan RM2 juta yang konon pernah diberikan kepadanya.
Sebaliknya, bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkilfli berkata, peguamnya menghantar surat kepada G. Gnanaraja pada 2017 agar ahli perniagaan itu mengembalikan kira-kira RM19 juta pernah diberikan, namun tidak diendahkan oleh individu itu.
Terdahulu, peguam Guan Eng, Haijan Omar menyoal Zarul Ahmad mengenai kenyataan media pada 2018 dan 2019 apabila dia dilaporkan menerima ancaman daripada penipu yang menuntut wang perlindungan.
“Saya khusus diberitahu agar fokus kepada (kes penipuan melibatkan) Gnanaraja,” jawab Zarul Ahmad.
Sebelum ini, Zarul Ahmad berkata, dia membayar RM19 juta kepada Gnanaraja kerana dianggap membantunya menghentikan siasatan berhubung pengubahan wang haram dan dapat mendekati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah lelaki itu mendakwa membayar RM2 juta kepada Guan Eng sebagai sogokan untuk projek terowong.
Guan Eng kini sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa melakukan perbuatan itu di antara Januari 2011 dan Ogos 2017. – UTUSAN










