PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan badan penguat kuasa antibuli di peringkat sekolah bagi memantau, melapor dan mengatasi jenayah itu dalam kalangan pelajar.
Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Hanim Abd. Jalal berkata, badan penguat kuasa itu berperanan memberi penekanan khusus terhadap isu buli yang berlaku di persekitaran sekolah.
Katanya, badan itu secara tidak langsung menyediakan saluran khusus untuk melaporkan buli, menjalankan siasatan secara teliti, memberi bantuan kepada mangsa dan mengambil tindakan terhadap pelaku buli.
“Ini akan membantu mencipta persekitaran sekolah yang lebih selamat dan menyokong perkembangan pelajar secara positif.
“Kita mahu badan penguat kuasa itu menjadi ‘pengawal’ kepada kes-kes buli di sekolah supaya tidak berlarutan sehingga menyebabkan kecederaan parah atau lebih sadis, kematian,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan seorang pelajar kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah maut dipercayai akibat dipukul sekumpulan pelajar lain di asrama kolej berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik asrama kolej tersebut sebelum disahkan meningggal dunia.
Mengikut laporan, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, punca kejadian kerana mangsa disyaki mencuri duit RM85 di asrama itu.
Sehubungan itu, polis menahan 13 pelajar lelaki berusia 16 hingga 19 tahun selain tujuh saksi yang bebas juga telah berjaya dikesan untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Fauziah Hanim berkata, kegiatan buli menjadi perkara yang tidak lagi mengejutkan dalam kalangan masyarakat apabila tidak diberi perhatian serius atau penyelesaian yang tidak tegas.
“Apabila kegiatan buli yang sering berulang tanpa tindakan yang berkesan, perbuatan itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang ‘biasa’ oleh pelajar dan masyarakat.
“Kegiatan memukul beramai-ramai yang menyebabkan kematian bukan sahaja memberi kesan fizikal tetapi juga boleh memberi impak yang serius terhadap kesihatan mental, sama ada kepada mangsa mahupun saksi-saksi kejadian tersebut,” katanya.
Turut senada, Pakar Perunding Psikiatrik dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj apabila menyatakan penubuhan badan penguat kuasa di peringkat sekolah untuk memerangi buli boleh melengkapkan perundangan sedia ada dan menyediakan pendekatan lebih fokus serta proaktif untuk menangani buli.
“Badan ini boleh membangunkan dasar dan prosedur yang bersesuaian untuk menangani buli dalam persekitaran sekolah serta boleh menggariskan definisi yang jelas tentang masalah tersebut, prosedur untuk melaporkan dan menyiasat insiden.
“Pihak sekolah juga boleh memastikan penguatkuasaan polisi dan prosedur antibuli yang lebih konsisten serta mewujudkan budaya yang menekankan kegiatan buli tidak diterima dan pelajar berasa selamat serta disokong dalam melaporkan insiden,”ujarnya. – UTUSAN










