JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang disyaki mengelar anaknya berusia setahun enam bulan di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Johor Bahru, Suhaili Sapuan di Hospital Permai, di sini terhadap wanita berusia 32 tahun itu.
Difahamkan wanita tersebut dibawa ke Hospital Permai bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mentalnya.
Perintah reman berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar memaklumkan seorang wanita ditahan kerana disyaki mengelar leher anak lelakinya di rumah mereka di Taman Cahaya Masai pada pukul 1.30 petang semalam.
Siasatan awal mendapati suspek turut menghantar gambar anaknya yang berlumuran darah menerusi aplikasi WhatsApp kepada suaminya.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk dibedah siasat.
Setakat ini motif dan punca kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN










