Wan Rosdy bukan gangster, hanya laksana tugas banteras pencerobohan tanah - Utusan Malaysia

Wan Rosdy bukan gangster, hanya laksana tugas banteras pencerobohan tanah

CHOON SIM WOON (kiri) dan K. TAMILSELVAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: MCA dan MIC Pahang menyifatkan dakwaan bekas Ahli Parlimen seperti tular dalam sebuah video baru-baru ini yang menggelar Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail seorang gangster sebagai tidak berasas.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Wan Rosdy melaksanakan tanggungjawabnya selaku pemimpin kerajaan negeri membanteras pencerobohan tanah termasuk di Cameron Highland.

Sebagai kerajaan ujarnya, Menteri Besar perlu mengambil tindakan tentang pencerobohan tanah, masalah setinggan dan lain-lain isu demi kemajuan jangka panjang rakyat serta negeri ini.

“Rekod Wan Rosdy memimpin negeri Pahang cukup cemerlang dan terbukti dengan peningkatan hasil negeri dan rakyat semua golongan mendapat pelbagai bantuan.

“Melabelkan Wan Rosdy sebagai samseng adalah tidak benar dan berniat buruk untuk menjejaskan reputasi dan integriti beliau sebagai pemimpin negeri dan nasional,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2024 anjuran MCA Pahang di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini hari ini.

Menerusi video yang dimuatnaik di laman media sosial TikTok, individu terbabit menggelar Wan Rosdy sebagai gangster berikutan tindakan tegas yang diambil kerajaan negeri terhadap pekebun sayur haram di Cameron Highlands sebelum ini.

Dalam kenyataan video berkenaan, individu terbabit menyatakan tanah yang memiliki tanaman sayuran yang diusahakan oleh pekebun sayur tidak seharusnya disentuh.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pahang, Datuk K. Tamilselvan menyifatkan dakwaan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrisnan terhadap Wan Rosdy langsung tiada asasnya.

“Pada hakikatnya Menteri Besar tersebut banyak berjasa kepada kaum India di negeri ini termasuk memberikan kelulusan tanah, kebajikan dan lain-lain keperluan,” katanya.

Beliau berkata, ketegasan Wan Rosdy berhubung isu penerokaan tanah bukan bersifat samseng, tetapi memberi banyak kebaikan kepada rakyat negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN