UMNO perlu buka, aktifkan `war-room' - Ahmad

UMNO perlu buka, aktifkan `war-room’ – Ahmad

Jambatan kerajaan
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu membuka dan mengaktifkan `war-room’ atau bilik perang di enam kawasan Parlimen yang dijangka akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya wakil rakyat Bersatu di kawasan terbabit hilang kelayakan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keenam-enam kawasan Parlimen terbabit adalah kawasan Barisan Nasional (BN) dan parti itu sedia bertanding jika PRK diadakan.

Enam kawasan Parlimen terbabit ialah Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan, Bukit Gantang dan Tanjung Karang.

Ia menjadi tumpuan selepas Bersatu meminda perlembagaan parti itu selepas wakil rakyat mereka di kawasan berkenaan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada atau tidak ada, kita anggap ada. Kita kena anggap PRK ada di enam kawasan Parlimen itu. Kawasan itu adalah kawasan Barisan Nasional dan BN sedia bertanding jika didapati ada PRK,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) di sini, hari ini.

Bersatu dilaporkan berjaya meminda perlembagaan parti itu bagi menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan menerusi satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, menerusi pindaan itu, mana-mana wakil rakyat Bersatu yang belot atau berpaling tadah akan terbatal keahlian mereka dalam parti serta-merta dan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat terlucut dengan sendiri.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Ahmad menjangkakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tiada masalah untuk meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu itu seperti mana yang pernah dilakukan UMNO.

Untuk itu katanya, Bersatu perlu segera menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen terbabit sama ada mereka masih menyokong Perdana Menteri sekarang atau sebaliknya.

“Saya tidak nampak mereka (akan) kata tidak, tetapi jika mereka berkata tidak, bererti mereka tidak ada prinsip.  Jika mereka sokong, teruskan.

“Jadi, mereka akan menerima surat gugur keahlian dan pihak Bersatu menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat dan enam kerusi itu kosong,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN