SEREMBAN: Isu kepadatan pelajar di dalam kelas tidak dinafikan berlaku di beberapa buah sekolah di negeri ini namun ia masih berada dalam keadaan terkawal.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr. Roslan Hussin malah berkata, keadaan tersebut tidak serius sehingga memerlukan khemah dan kontena dibuka di sekolah-sekolah terlibat
Bagaimanapun, katanya, isu kepadatan pelajar sering kali berlaku apabila musim persekolahan baharu bermula.
“Memanglah tidak selesa dalam satu kelas ada yang sampai 40 murid, tetapi di sekolah-sekolah di negeri ini tidaklah sampai tahap membuka khemah dan kontena.
“Setakat dua minggu persekolahan di negeri ini, semuanya masih dalam keadaan terkawal. Jika ada pun, langkah pertama diambil adalah sekolah perlu mengadakan dua sesi persekolahan dan kedua, agihan taburan murid perlu dilakukan di sekolah berhampiran,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, antara kawasan ‘hotspot’ seringkali berlakunya masalah kepadatan murid di sekolah adalah seperti kawasan perumahan-perumahan baharu di Nilai, Seremban 2 dan Sendayan kerana kepadatan penduduk di kawasan itu sendiri.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menggalakkan supaya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan pembelajaran dapat dijalankan dengan kondusif di setiap sekolah,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, dua buah sekolah baharu dijangka akan dibina di negeri ini iaitu Bandar Baru Sendayan, Seremban dan Jempol.-UTUSAN.










