Tiada lagi kasih sayang, Bella Astillah fail cerai - Utusan Malaysia

Tiada lagi kasih sayang, Bella Astillah fail cerai

Bella Astillah
Bella Astillah memfailkan cerai terhadap suaminya, Aliff Aziz.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada lagi perasaan cinta dan kasih sayang serta tiada persefahaman menyebabkan pelakon, Bella Astillah memfailkan cerai buat kali kedua terhadap suaminya, Aliff Aziz.

Alasan tersebut dinyatakan dalam permohonan cerai yang difailkan Bella kira-kira dua hari selepas Aliff  didakwa ditangkap khalwat dengan pelakon, Ruhanies, awal pagi Sabtu lalu.

Menurut peguam syarie, Azmi Mohd. Rais permohonan tersebut difailkan Isnin lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu perceraian dengan perintah mahkamah dan dilakukan secara `fast track’.

“Permohonan difailkan secara ekspres (fast track) dan tarikh pada mulanya ditetapkan esok (Khamis) namun telah dipercepatkan pada hari ini. Hari ini merupakan sebutan kali pertama permohonan tersebut.

“Antara alasan yang dinyatakan dalam permohonan cerai tersebut mereka (Bella dan Aliff) tiada lagi persefahaman, rahmah (kasih sayang) dan mawaddah (cinta),”ujar peguam tersebut.

Menjawab pertanyaan mengenai kehadiran Aliff, Azmi memberitahu, Aliff telah dimaklumkan mengenai sebutan kali pertama hari ini namun pelakon terbabit memaklumkan tidak dapat hadir.

“Aliff ada maklumkan kepada saya bahawa tidak dapat hadir hari ini kerana ada ‘shooting’ (penggambaran). Oleh itu, mahkamah menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula permohonan tersebut,”kata Azmi.

PROSES

Perceraian fast track merupakan satu proses yang mana pasangan yang bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes mereka. 

Proses ini juga diselesaikan kurang enam jam bermula daripada masa pendaftaran kes sehingga perintah bertulis dikeluarkan. 

Sementara itu, Bella atau nama penuhnya, Dayang Nabellah Awang Astillah hadir ke mahkamah dengan ditemani ibunya, Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah.

Bella dan Aliff atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk kembali ketika wanita itu masih dalam edah. Pada ketika itu, alasan yang diberikan Bella untuk memfailkan cerai ialah Aliff sering curang.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Pasangan tersebut sering diuji dengan pelbagai isu antaranya kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah sebelum dikaitkan pula dengan pelakon, Oktovia Manrose, sekitar Februari 2019.

Aliff juga pernah dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,518 (S$500) selepas didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam oleh Mahkamah Singapura pada September 2020. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN