Sultan Selangor tidak teruskan khidmat sebagai Pengerusi MKI - Utusan Malaysia

Sultan Selangor tidak teruskan khidmat sebagai Pengerusi MKI

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat melanjutkan tugasnya sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas tempoh perkhidmatan tamat pada Sabtu ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu MKI.

“Sultan Sharafuddin menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang Pengerusi baharu dalam kalangan Raja Pemerintah supaya kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik di bawah kepemimpinan Pengerusi baharu,” kata kenyataan tersebut.

Ketika berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkap Setiausaha MKI, Datin Hakimah Mohd. Yusoff dan Sekretariat MKI, baginda menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat, wakil dari semua negeri dan Jakim selaku Sekretariat MKI yang sudah melaksanakan tugas dengan efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa ini, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang baginda memegang jawatan sebagai Pengerusi MKI.

“Baginda turut menyemak semua minit mesyuarat lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Baginda menegaskan, sepanjang bertindak sebagai Pengerusi MKI, menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar agama Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah,” katanya.

Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 menetapkan Pengerusi MKI hendaklah dipilih daripada kalangan Raja Pemerintah oleh Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui.

Baginda mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022 sehingga 9 Mac 2024, menurut kenyataan itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya