KOTA BHARU: Taktik licik sebuah stesen minyak di Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa di sini menyeleweng bahan api petrol kepada penyeludup ketika umat Islam sibuk membuat persiapan bersahur terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa awal pagi tadi.
Serbuan pukul 3 pagi itu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan turut menahan seorang lelaki berusia 40-an.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan keatas kereta jenis Toyota Corona membawa kepada penemuan 675 liter minyak petrol di dalam 27 tong jerikin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek membuat pembelian pengisian di stesen minyak menggunakan tangki ubah suai besar dan tong jerikin sebelum diselewengkan melalui pengkalan haram.
“Pada masa sama, kita turut mengambil tindakan ke atas pemilik stesen minyak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Nilai rampasan bahan api itu termasuk kereta dianggarkan berjumlah 11,383.75,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN akan merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya tindakan lanjut.
Katanya, KPDN Kelantan akan terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain dalam mengekang aktiviti penyeludupan dari masa ke masa.-UTUSAN










