KUANTAN: “Serah kepada netizen untuk menilainya. Saya bukan gangster,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail susulan tular video seorang bekas Ahli Parlimen yang menggelarnya gangster baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuatnaik di laman media sosial TikTok, individu terbabit menggelar Wan Rosdy sebagai gangster berikutan tindakan tegas yang diambil kerajaan negeri terhadap pekebun sayur haram di Cameron Highlands sebelum ini.
Dalam kenyataan video berkenaan, individu terbabit menyatakan tanah yang memiliki tanaman sayuran yang diusahakan oleh pekebun sayur tidak seharusnya disentuh.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terbabit kerana pekebun terlibat bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang, malah turut merosakkan alam sekitar.
“Pekebun terbabit meneroka tanah secara haram dan sebagai kerajaan, aktiviti itu perlu dihentikan. Jika tidak dihentikan ia akan berleluasa dan intergriti kerajaan akan terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 1445 Hijrah Kepada Masjid Dan Surau Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.
Dalam pada itu, Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Pahang Darul Makmur (Teratai) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Pahang menyumbangkan RM168,000 kepada masjid dan surau negeri ini sempena Ramadan.
Wan Rosdy berkata, daripada jumlah itu, RM2,500 akan disumbangkan kepada 42 masjid dan RM1,500 untuk 42 surau.
“Kepada masjid dan surau yang menerima sumbangan ini manfaatkanlah sumbangan ini dengan sebaik mungkin. Saya berdoa semoga bumi Pahang ini terus makmur dan sejahtera serta dilimpahi rezeki berlipat ganda untuk kita terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan demi manfaat semua,” katanya. – UTUSAN










