MARAN: Malang menimpa sebuah keluarga di Felda Raya Jengka 14, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini apabila kediaman dan kelengkapan yang baharu dibeli untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran pukul 10.20 malam semalam.
Pemilik rumah, Mohd. Isa Md. Noor berkata, semasa kejadian, dia sedang solat tarawih di masjid manakala isterinya, Nor Asmah Bohari dan dua anak sedang bekerja serta berniaga di simpang masuk rancangan berkenaan.
“Saya terkejut dengan kejadian yang disifatkan di luar jangkaan ini kerana semua barangan rumah, dokumen seperti kad pengenalan dan baju raya yang baharu dibeli musnah terbakar.
“Punca kebakaran masih disiasat pihak bomba manakala jumlah kerugian pun masih belum ditaksirkan tetapi jumlahnya dijangka melebihi RM100,000,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka, Muhamad Nur Syukran Muhamad Hanafiah berkata, sepasukan 12 anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan orang ramai.
Beliau berkata, jiran mangsa terdengar bunyi letupan sebelum mendapati rumah Mohd. Isa terbakar lalu bertindak menghubungi bomba.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 30 kaki x 60 kaki persegi dan anggaran peratusan kebakaran 95 peratus serta tidak melibatkan mangsa.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dialami mangsa,” katanya. – UTUSAN










