Rebat sehingga RM4,000 pasang sistem solar rumah

Rebat sehingga RM4,000 pasang sistem solar rumah

elektrik
Para pemain industri solar lega apabila kerajaan mengumumkan penambahan kuota sebanyak 50 megawatt (MW) untuk NEM Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna boleh mendapat rebat sehingga RM4,000 menerusi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di bumbung rumah bermula 1 April ini menerusi Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sistem solar itu adalah langkah segera bagi memanfaatkan bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

Beliau berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan bersetuju meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt di bawah Program Program Meter Tenaga Bersih (NEM) Rakyat.

Katanya, ia menjadikan jumlah kuota diperuntukkan adalah sebanyak 350 megawatt.

“Pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar di kalangan rakyat.

“Ini termasuk pemberian rebat berjumlah RM1,000 per kilowatt sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Fadillah berkata, skim itu terbuka kepada semua warganegara dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember tahun ini.

Katanya, permohonan NEM Rakyat perlu beroperasi selewat-lewatnya pada 31 Mac 2025 atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan.

“Pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasa­ngan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank pengguna.

“Pemberian insentif ini akan dikendalikan oleh TNB dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, permohonan kuota untuk Program NEM Rakyat ini dibuka sehingga 31 Disember atau sehingga kesemua kuota yang diperuntukkan habis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini