KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengenakan semula empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapat suapan berjumlah RM232.5 juta.
Notis rayuan tersebut telah difailkan semalam melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.
Menurut notis tersebut, Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin merayu terhadap keseluruhan penghakiman panel hakim tersebut.
Kata beliau, dalam mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 15 Ogos 2023, panel tiga hakim itu telah memutuskan bahawa empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah jelas.
Oleh itu, tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Selain itu, Mahkamah Rayuan turut memutuskan Bersatu sebagai satu pertubuhan politik adalah terangkum dalam definisi “sekutu” bawah Seksyen 3 ASPRM 2009.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk membatalkan empat tuduhan terhadapnya.
Muhammad Jamil membuat keputusan itu selepas mendapati, keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.
Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Presiden Bersatu itu tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 4 Mac ini. – UTUSAN










