HULU TERENGGANU: Seramai 25 peserta Projek Tanaman Padi Berkelompok Paya Rapat, dekat sini menarik nafas lega apabila dapat mengusahakan semula tanaman padi selepas banjir besar dua kali pada Februari dan Disember 2022.
Mereka juga bersyukur berikutan sumber bekalan air dari Sungai Telemong mencukupi untuk menampung keperluan walaupun cuaca panas dan kering.
Seorang peserta, Samsudin Mat Zin, 56, berkata, aktiviti bersawah di kawasan seluas 48 hektar itu dapat diusahakan semula pada Februari lalu setelah lebih setahun tidak dapat mengusahakan
Menurutnya, peserta mengambil masa untuk memulakan semula penanaman padi selepas sistem pengairan mengalami kerosakan akibat banjir besar tersebut.
“Kawasan hadapan pintu rumah pam di Pasir Simpul dipenuhi pasir sekali gus mengganggu sistem pengairan di sawah tersebut sebelum dipulihkan baru-baru ini, “ katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Siti Habsah Mamat, 65, dari Kampung Tok Lawit pula berkata, sawah seluas kira-kira dua hektar yang diusahakan tidak mengalami masalah air walaupun musim panas setelah sistem pengairan dibaik pulih.
PADI
“Sepatutnya peserta usahakan tanaman padi sebanyak dua kali setahun tetapi tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat banjir besar tahun sebelumnya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang projek berkenaan, Johari Chik, berkata, peserta terpaksa menanggung kerugian melebihi RM100,000 dalam dua kejadian banjir pada 2022.
Katanya, dalam kejadian banjir itu, jumlah pengeluaran padi terjejas sehingga 70 metrik tan berbanding kebiasaannya 180 metrik tan pada 2022.
Sementara itu, tambahnya, peserta juga tidak dapat mengusahakan tanaman padi sepanjang tahun lepas.
“Bencana banjir tersebut meninggalkan kesan terhadap 25 peserta projek yang menanam padi di kawasan seluas kira-kira 48 hektar,” ujarnya.
Sementara itu di Pasir Puteh, Kelantan Lebih 300 penanam padi di lima bendang Semerak, di sini berdepan ketiadaan benih untuk meneruskan kerja-kerja tanaman padi musim kedua pada awal Mei depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak, Alias Mat Rani mendakwa, pihaknya sudah membuat tempahan awal bagi membolehkan kerja menabur benih dilaksanakan serentak.
Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini belum berhasil kerana dipercayai jualan benih padi kini dimonopoli oleh orang tengah dan pihak swasta.
Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah Golok, Tanjung, Gong Manak, Kampung Besar dan Beris Chalok.
BENIH
Katanya, pihaknya sukar membeli atau menempah benih berkualiti seperti mana yang dialami musim lalu.
“Selain itu, kami berdepan dengan harga. Tiada lagi benih padi biasa yang berharga RM50 untuk satu guni seberat 20 kilogram (kg).
“Orang tengah, lazimnya mengenalkan RM68 untuk mendapatkan benih padi biasa berbanding harga padi varieti CL berharga RM70 seguni,” katanya ketika ditemui di bendang Peraksi, di sini semalam.
Alias memberitahu, kesukaran mendapatkan benih padi pada musim lalu turut memberi impak kepada sebahagian penanam padi yang lewat menabur.
Katanya, PPK Semerak sudah bersepakat dengan penanam padi untuk menyimpan benih dari hasil tuaian bagi menampung keperluan benih yang lebih murah pada masa akan datang.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya berharap pihak berkuasa akan melakukan sesuatu agar isu tiada benih tidak berlaku. – UTUSAN










