TEMERLOH: Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Timur Seri Tualang di sini menjadi perintis projek ternakan ikan dalam longkang sepanjang 100 meter di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pusat PLGDP, Rozali Abdul Rani berkata, projek yang dilaksanakan dua bulan lalu itu menempatkan 1,000 ekor anak ikan tilapia dan 100 ekor anak ikan jelawat.
Menurutnya, benih itu dibeli daripada penternak manakala Jabatan Perikanan Daerah Temerloh memberi khidmat nasihat dan kepakaran menjayakan projek ini.
“Kerja-kerja awal sudah dilakukan bagi membina benteng pasir untuk menakung air longkang sebelum benih ikan dilepaskan dalam longkang berkenaan.
“Lawatan dari pegawai Perikanan Daerah Temerloh turut memberikan khidmat nasihat dan berikrar memberi bantuan benih dan makanan ikan dalam fasa kedua projek ini,” katanya di sini semalam.
Rozali berkata, projek ini dilaksanakan bertujuan memperkasakan persekitaran yang ada untuk dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi dan terapi minda.
Kata beliau, projek ini juga dapat menerapkan elemen merentas kurikulum dalam pendidikan sekali gus memperkasa penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta dalam menjayakan program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh.
Selain itu, tegasnya, projek tersebut menjadi perintis kepada sekolah kerana mereka pun berpotensi menjayakannya.
“Projek ini mendapat sokongan Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, Saufie Abdul Manaf yang berpandangan jauh,” katanya. – UTUSAN









