KOTA BHARU: Presiden sebuah persatuan muay thai didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan memukul seorang lelaki di sebuah kedai makan, kira-kira dua bulan lalu.
Tertuduh, Datuk Mohd. Fared Abdul Ghani, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk membunuh seorang lelaki berusia 40 tahun sambil memegang sebilah pisau.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, Mohd. Fared yang juga bekas aktivis sebuah persatuan pengguna di negara ini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas lelaki yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di depan sebuah sebuah kedai nasi lemak dekat Kampung Langgar, di sini kira-kira pukul 10 malam pada 6 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Surainie dan Azizan Ariff.
Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Azahir dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum memandangkan Mohd. Fared mempunyai empat orang anak termasuk ada yang masih bersekolah.
“Anak guam saya juga menghidap penyakit darah tinggi dan lemah jantung malah perlu menjalani rawatan secara berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini,” ujarnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Mohd. Fared yang dicari polis sejak awal bulan ini akhirnya berjaya ditangkap di tepi jalan simpang empat Binjai di sini sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.
Lelaki itu merupakan seorang daripada empat individu yang dikehendaki berhubung kes mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah di Kota Bharu baru-baru ini.
Mohd. Fared direman selama dua hari sebelum dilepas dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Selain Mohd. Fared, polis turut mengesan tiga individu lain iaitu Mohd. Izani Ibrahim, 42, Mohd. Haziman Hikamarhakimi, 37, dan Wan Sharilazry Wan Mohd. Sukry, 35.-UTUSAN










