KUALA LANGAT: Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta menyelaras semula jumlah pelajar dalam sesebuah sekolah dan kelas supaya tidak berlaku kesesakan.
Ini berikutan terdapat peningkatan enrolmen bagi murid tahun satu dan tingkatan satu di seluruh negara tahun ini sehingga berlaku ketiadaseimbangan jumlah kemasukan pelajar di sekolah-sekolah tertentu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, PPD dan JPN perlu memastikan keselesaan dan suasana pembelajaran yang kondusif untuk semua pelajar.
“Memang ada sekolah yang menerima peningkatan lebih sedikit dan kita memang tahu sekolah-sekolah berkenaan. Enrolmen untuk darjah satu (tahun ini) memang tinggi,’’ katanya ketika meninjau pembukaan kali pertama Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putra, semalam.
Selain isu kepadatan sekolah, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, pihaknya turut memantau masalah sekolah kekurangan murid (SKM).
Fadhlina berkata, lima juta pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan lima bagi sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah menengah kebangsaan (SMK) memulakan persekolahan sesi 2024/ 2025 semalam dan kelmarin.
Selangor mencatatkan pelajar paling ramai iaitu 927,528 di 943 buah sekolah seluruh negeri melibatkan kemasukan tahun satu sebanyak 97,000 murid dan 91,000 bagi tingkatan satu.
Negeri dengan jumlah pelajar paling rendah adalah Labuan yang menerima kemasukan pelajar bagi darjah satu dan tingkatan lima masing-masing seramai 1,700 dan 1,600 orang murid.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, menyelesaikan isu persekolahan dalam kalangan lebih 50,000 kanak-kanak yang berdepan masalah kewarganegaraan juga menjadi keutamaan beliau.
“Kita sudah ada garis panduan tentang anak-anak yang tidak mempunyai kewarganegaraan untuk ke sekolah dan kita sentiasa tambah baik garis panduan tersebut. Ibu bapa yang mempunyai masalah itu diminta untuk datang ke PPD dan JPN bagi berbincang.
“Mana yang kita boleh bantu, kita akan bantu. Kita akan ikut garis panduan yang sedia ada.
“Anak-anak mesti bersekolah, sebab itu saya kata kita akan cuba bantu selagi ada ruang,” jelasnya. – UTUSAN











