SUBANG JAYA: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menafikan dakwaan pihak polis lambat bertindak berhubung siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Damansara Damai, Disember lalu.
Tegas Hussein, semua pihak boleh menilai sendiri berdasarkan liputan media yang dibuat secara meluas sepanjang siasatan dijalankan.
“Dari hari pertama laporan diterima, semua pihak bertungkus-lumus dalam mencari Zayn Rayyan sehinggalah ditemukan.
“Apa lagi usaha kita tidak buat? Semua sudut kita sudah jalankan termasuk meminta bantuan agensi lain termasuk pihak Polis Antarabangsa (Interpol).
“Pihak polis sudah buat yang terbaik, malah kita secara terbuka maklumkan perkembangan siasatan. Kita juga ada uar-uarkan mana-mana pihak mempunyai maklumat untuk tampil membantu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh termasuk dari sudut teknikal yang menemukan data-data berkaitan, iaitu alamat protokol internet (IP Address) di lokasi penemuan mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Bagaimanapun, jelas beliau, ia tidak membantu serta tidak konklusif ke arah satu individu.
“Malah, kesan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar kepada Interpol juga tidak membantu mengesan suspek.
“Kita dah lihat semua sudut dalam siasatan tersebut namun ada benda yang tidak boleh didedahkan. Tidak timbul isu kata kita (polis) lambat bertindak,” ujarnya.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan, 6, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring mengiring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman di sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa akibat mempertahankan diri selain kes dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pelbagai pencarian bahan bukti dilakukan pihak polis di sekitar Apartment Idaman di sini termasuk mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu dan merakam keterangan kira-kira 225 saksi yang terdiri daripada ahli keluarga, guru dan penduduk flat berkenaan.
Malah, pihak berkuasa turut mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mendapatkan semakan pangkalan data berhubung beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.
Dalam pada itu, Februari lalu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran wang berjumlah RM20,000 kepada mana-mana pihak yang membantu polis sehingga tertangkapnya pembunuh Zayn Rayyan.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, pembunuh kanak-kanak autisme itu masih belum ditangkap namun pihak polis masih menjalankan siasatan walaupun tiada penemuan petunjuk baharu. – UTUSAN










