Polis minta bantuan kesan lelaki hilang - Utusan Malaysia

Polis minta bantuan kesan lelaki hilang

RANGKA dan tulang manusia yang ditemukan dalam sebuah ladang kepala sawit di Felda Sungai Kelamah, Tampin pada 29 April lalu disahkan sebagai milik Muhammad Syafiq Salehin yang dilaporkan hilang sejak 25 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai orang hilang, sejak lima hari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, individu dilaporkan hilang itu dikenali sebagai Muhamad Syafiq Salehin, 32, dan tinggal di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan.

Menurutnya, kehilangan itu disedari pengadu iaitu isteri lelaki tersebut kira-kira pukul 7 petang, 25 Mac lalu selepas suaminya tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum dia membuat laporan ke balai polis berhampiran.

“Pakaian terakhir yang dipakai oleh suami pengadu ialah t-shirt lengan panjang berwarna oren dan seluar panjang biru poket kiri kanan.

“Pengadu telah menghubungi nombor telefon bimbit suaminya tetapi gagal dihubungi. Suami pengadu masih belum pulang ke rumah dan masih gagal dihubungi,” katanya hari ini.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah keluar rumah untuk bekerja pada pukul 6.45 pagi di landasan keretapi Batang Melaka-Gemas pada tarikh yang sama.

“Kali terakhir lelaki itu dilihat oleh saksi awam di kawasan kedai makan Majlis Daerah di Kampung Baru Air Kuning Selatan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan orang hilang itu diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin menerusi nombor telefon 064431999.

Orang ramai juga boleh ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN