Pinjam RM1,400, ah long tuntut bayaran hampir RM200,000 - Utusan Malaysia

Pinjam RM1,400, ah long tuntut bayaran hampir RM200,000

KAI JIE (kiri) dan Kah Eng menunjukkan gambar keadaan bahagian depan rumah di Johor Bahru dan Yong Peng yang terbakar akibat perbuatan ah long.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak yang bekerja di Singapura hidup dalam ketakutan apabila menjadi buruan ceti haram atau ah long yang menuntut bayaran sehingga RM192,575 (SG$55,000).

Mangsa yang dikenali sebagai Kai Jie, 19, berkata, sindiket itu bertindak agresif apabila melakukan ugutan dengan membaling bom petrol ke rumahnya di Sri Setanggi, di sini dan kediaman neneknya di Taman Seri Wangi, Yong Peng.

Anak bongsu daripada dua beradik itu terjerat dengan ceti haram itu kerana terdesak untuk menggunakan duit dengan membuat pinjaman sebanyak RM1,400 (SG$400), 13 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tertarik dengan iklan pinjaman wang dalam Instagram dan telah membuat permohonan dan menerima wang tersebut dan menurut iklan itu saya hanya perlu membayar semula sebanyak RM1,925 (SG$550).

“Dalam masa lima hari pada 18 Mac, saya telah membayar bayaran yang dituntut dengan membuat transaksi ke akaun berdaftar di Singapura dan menunjukkan bukti salinan resit transaksi kepada individu terbabit. Malangnya, mereka mendakwa tidak menerima bayaran tersebut, malah menuntut bayaran 10 kali ganda, iaitu RM19,257 (SG$5,500),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Apabila dia tidak membuat pembayaran seperti dituntut, ah long tersebut telah bertindak agresif dengan membaling bom petrol ke rumahnya di Johor Bahru, minggu lalu dan ke atas rumah neneknya di Yong Peng, Khamis lalu.

Laporan polis telah dibuat oleh abangnya dan ibu saudaranya di Balai Polis Majidee, di sini dan Balai Polis Yong Peng, pada hari kejadian berlaku.

Dia bukan sahaja menerima ugutan daripada nombor telefon berdaftar di Singapura melalui WhatsApp, malah majikannya turut menerima ugutan yang sama bagi memberi tekanan kepadanya untuk membayar hutang itu.

“Sindiket ah long itu turut meninggalkan nota di pagar rumah nenek di Yong Peng yang menyebut perbuatan khianat dengan api itu hanyalah permulaan dan meminta saya menghubungi lelaki dikenali sebagai Nick untuk selesaikan isu itu. Mereka turut mengugut jika saya gagal menjelaskan segera bayaran itu, jumlah tersebut akan digandakan kepada RM192,575 (SG$55,000),” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chan Kah Eng berjanji akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis serta Konsulat Jeneral Singapura di Malaysia berhubung isu itu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai iklan pinjaman wang dalam media sosial selain memberikan maklumat pengenalan diri dengan mudah.

“Hanya berpandu nombor kad pengenalan, akaun bank serta permit kerja mangsa, sindiket ini dapat mengesan maklumat peribadi ahli keluarga mangsa serta mengesan rumah neneknya di Yong Peng. Perkara ini amat membimbangkan betapa mudah sindiket ini memperoleh maklumat itu dan dijadikan bahan ugutan untuk menakut-nakutkan mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×