SEREMBAN: Peniaga di bazar Ramadan dinasihatkan untuk tidak sambil lewa dalam menyediakan juadah makanan jualan mereka selain memastikan ia berada dalam keadaan baik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setiap jualan peniaga itu seharusnya dapat membawa kebaikan kepada peniaga tidak hanya di dunia di akhirat kelak malah setiap urusan jual beli itu juga perlu dibina atas dasar keberkatan dan keredaan.
Beliau menjelaskan, sekiranya tidak ada keredaan dan keberkatan, rasa tidak puas hati termasuklah kepada pembeli, ia tentulah jauh daripada konsep sebenar dalam Islam.
“Perkara ini perlu dijaga, sedap atau tidak ini subjektif, tidak dapat nafikan kerana ada orang suka masam sikit, manis atau tawar sikit, tidak ikut selera kita.
“Tetapi masalah basi, masalah tidak masak dan buat lebih kurang ini patut kita hindarkan. Ada satu hadis Rasulullah, Allah sangat suka kalau peniaga menjual dalam keadaan penuh toleransi dan kasih sayang, sama juga membeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai anjuran Gyro Gastro Sdn. Bhd. yang turut meraikan 80 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah semalam.
Dengan memetik surah al-Mutaffifin ayat satu hingga lima yang bermaksud urusan jual beli perlulah dilakukan secara jujur, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, ayat itu mengajar supaya berbuat baik kepada orang lain.
“Ayat ini mahu beritahu kepada kita bahawa mereka (orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan) dalam bab jual beli, mereka buat lebih kurang, ambil barangan timbangan tak cukup.
“Adakah mereka ini tidak sangka mereka ini akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak (hidup semula sesudah mati)? Jadi ayat seperti ini mengajar kepada kita, bila kita toleransi kepada orang, kita buat baiklah, tidak rugi berbuat baik,” katanya.
Beliau justeru berpesan untuk peniaga-peniaga supaya menyediakan makanan yang terbaik.
“Kita tengok Rasulullah SAW sebagai seorang peniaga yang berjaya, sahabat berjaya. Bagaimana baginda interaksi dengan pelanggan dengan cukup baik.
“Mudah-mudahan kita juga boleh buat seperti itu. Pastikan makanan masak, makanan elok, tak basi dan kalau boleh sedap itu satu ‘mileage’ yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat harus menjauhi daripada membuat kandungan mengenai menu makanan untuk dikongsikan di media sosial yang boleh mengundang perbualan negatif orang ramai.
“Semuanya bergantung kepada niat masing-masing, tidak kata tidak boleh atau boleh 100 peratus.
“Kadang-kadang cara sebegitu boleh memberi semangat kepada orang lain dalam berkongsi menu tetapi kalau dengan niat buat kandungan semata-mata untuk raih tontonan, di situ boleh wujud pelbagai rasa perasaan dan perlu dielakkan,”katanya lagi.-UTUSAN.










