SEREMBAN: Seorang pengurus sebuah resort didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen dan permit khas, lebih empat tahun lalu.
Orang kena saman (OKS), Jefri Ramli, 50, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim, Mazni Nawi.
Berdasarkan pertuduhan pertama, OKS pada 12 September 2019 kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah resort di Jalan Bukit Putus Lama didapati tanpa lesen telah menyimpan tiga ekor burung murai batu iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Oleh yang demikian, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama, OKS telah didapati menyimpan seekor kura-kura duri bukit yang dilindungi di bawah akta yang sama tanpa permit khas sekali gus melakukan kesalahan di Seksyen 68 (1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) akta yang sama.
OKS juga telah didapati menyimpan seekor ungka tangan putih iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716 tanpa permit khas juga pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Sehubungan itu juga dia telah melakukan kesalahan di Seksyen 69 (1) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta yang sama.
Bagi pertuduhan pertama, Mazni menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 atau sebulan penjara jika gagal bayar dan bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, OKS dikenakan denda sebanyak RM1,000, jika gagal bayar sebulan penjara.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore Bolongan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di mahkamah yang sama juga, seorang lelaki, Mohd. Rosli Amat, 53, didenda sebanyak RM1,000 kerana didapati tanpa lesen telah menyimpan bahagian kepala dan daging kijang seberat 1.4 kilogram iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta 716.
Kesalahan itu dilakukannya pada 12 Mac 2021 lebih kurang pukul 10.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Paya Renggoh, Johol, Kuala Pilah.
Mazni menjatuhkan hukuman tersebut mengikut Seksyen 60(1) Akta 716 selepas OKS mengaku bersalah mengikut Seksyen 60(1)(a) akta yang sama.-UTUSAN.










