KABONG: Proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings dijangka diselesaikan pada penghujung tahun ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Langkah itu jelasnya bagi menangani isu kenaikan kadar tambang terutama ketika musim perayaan sekali gus mengurangkan beban pembelian tiket khususnya rakyat negeri itu di Semenanjung.
“Ini akan memudahkan rakyat di Sarawak dan Sabah serta pelajar yang menuntut di Semenanjung untuk pulang ke tanah air pada cuti perayaan.
“Apabila menjelang cuti perayaan pasti tambang akan naik. Macam mana nak tahan, harga makin naik. Pergi ke Kuala Lumpur sahaja sudah menelan belanja sehingga RM1,000 lebih.
“Mahu tak mahu, kerajaan Sarawak terpaksa menanggungnya, demi kepentingan anak Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Kabong International Kite Festival 2024, di Dewan Pantai Tanjung Kembang, Kabong semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata langkah itu nanti akan diperluaskan oleh kerajaan Sarawak dengan mewujudkan penerbangan jarak jauh di rantau Asia.
“Selain penerbangan ke Semenanjung, antara destinasi jarak jauh yang dirancang termasuk Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, India serta satu destinasi di Australia,” ujarnya.
Dalam perkembangan projek pembangunan Sarawak, beliau turut mengulas mengenai 12 projek jambatan yang bakal menghubungkan ‘missing link’ di sepanjang jalan pesisir negeri itu.
“Apabila siap, ia dijangka memendekkan masa perjalanan dari enam jam kepada dua jam setengah dari Kuching ke Sibu dan sebaliknya,” ujarnya.











