PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad tidak boleh mengubah ‘tiang gol’ sesuka hati mereka.
Ketika membacakan penghakiman ringkas panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah pada rayuan kes tersebut, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan dua naratif berbeza dalam kes mereka.
“Dalam pertuduhan dan ucapan pembukaan, pendakwaan menyatakan rasuah yang diberikan merupakan ‘ganjaran’ kerana membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan. Sewaktu perbicaraan, naratif bertukar sebagai ‘dorongan’ agar perayu tidak mengganggu dengan proses pembelian hotel berkenaan.
“Oleh itu, timbul persoalan elemen manakah yang digunakan oleh hakim bicara dalam memutuskan prima facie kes tersebut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Adakah ia (rasuah) satu ganjaran atau dorongan?
“Pendakwaan tidak boleh mengubah ‘tiang gol’ mereka sesuka hati. Mereka perlu berpegang teguh dengan perincian yang dinyatakan dalam pertuduhan. Pertuduhan tersebut pernah dipinda (ubah tarikh kejadian), namun inti pati pertuduhan masih lagi kekal,” kata Hakim Vazeer.
Dalam pada itu, katanya, ungkapan ‘kirim salam’ daripada Mohd. Isa kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel tidak bermakna beliau meminta suapan.
Malah ayat ‘kalau dia orang bagi apa-apa nanti, kau ambillah’ yang didakwa dinyatakan Mohd. Isa kepada saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politiknya juga tidak boleh dianggap sebagai arahan untuk meminta rasuah bagi pihak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
“SP21 dalam keterangannya menyatakan dia akan menyampaikan salam daripada perayu kepada SP16 (Ikhwan) yang mana selepas itu bayaran (rasuah) akan dibuat dan akan diserahkannya kepada perayu.
“Bagaimanapun, tiada keterangan lain yang boleh dipercayai yang menunjukkan bahawa memang terdapat satu pemahaman di antara perayu dan SP16 untuk menggunakan kata kunci ini (bagi meminta rasuah).
Malah, SP21 ketika disoal balas telah memberikan keterangan yang bercanggah mengenai perkara ini,” kata Hakim Vazeer.
Selepas membaca penghakiman ringkas setebal 33 muka surat itu, panel terbabit sebulat suara mengetepikan sabitan salah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 sekali gus membatalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.
Pada tarikh tersebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB), sembilan tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) ketika membaca penghakimannya menyatakan, modus operandi Mohd. Isa untuk mendapatkan rasuah adalah dengan cara ‘kirim salam.’ – UTUSAN










