KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis), memperkasa kaum wanita dengan memperkukuh peranan mereka berteraskan 5K iaitu kepimpinan, kesihatan, kekeluargaan, kepribadian dan kewangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program bertemakan ‘Wanita Inspirasi Perintis Generasi’ dirancang supaya para peserta dapat mendalami peranan wanita dalam semua aspek.
Katanya, inisiatif TNB itu mencerminkan kesungguhan wanita terhadap perjuangan mereka sama ada sebagai pekerja, isteri, ibu dan anak.
“Wanita yang berbekalkan pendidikan serta kegigihan sendiri mampu menembus tembok-tembok penghalang karier mereka.
“Kini, wanita diberi kepercayaan di peringkat membuat keputusan termasuk sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, hakim-hakim, ketua setiausaha, ketua pengarah, naib canselor dan ketua setiausaha Kerajaan Negeri.
“Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa wanita mampu memimpin dan memegang tampuk kepimpinan,” katanya merasmikan Seminar Women in Leadership di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum, Bangsar di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penyampaian Anugerah Wirawati Kepimpinan, Anugerah Wirawati Lestari dan Anugerah Wirawati Harapan kepada Srikandi TNB.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kerajaan akan terus menggerakkan agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita agar golongan itu dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan kualiti hidup.
“Dalam aspek kewangan dan kepimpinan, perlu diakui bahawa wanita kini merupakan sebahagian penting daripada tenaga kerja global dan ekonomi domestik. Peranan mereka dalam memajukan ekonomi keluarga dan negara tidak dapat dinafikan.
“Penting bagi kita untuk memastikan kesaksamaan jantina dalam pekerjaan dan peluang ekonomi serta menyediakan akses kepada pendidikan dan latihan kepemimpinan supaya wanita dapat memberi sumbangan sepenuhnya kepada ekonomi Malaysia Madani,” katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan juga sangat mengambil berat mengenai kaum wanita dengan mengumumkan enam inisiatif pemerkasaan Wanita Madani.
Katanya, ia bertujuan membangunkan masyarakat secara inklusif agar berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
“Antara inisiatif yang diperkenalkan adalah program i-Sayang di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung KASIH Wanita untuk golongan B40 serta pengenalan garis panduan pelaksanaan program Advokasi Anti Gangguan Seksual.
“Inisiatif tersebut mengukuhkan usaha kerajaan dalam mewajibkan pelantikan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya. – UTUSAN










