PETALING JAYA: Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh digesa menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan Datuk Seri Najib Razak yang didakwa memohon diberikan tahanan dalam rumah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pertanyaan bekas Perdana Menteri di Parlimen perlu dijawab dengan telus oleh Peguam Negara.
“Apakah benar bila rayuan pengampunan dibuat ada lampiran Najib mohon dibenarkan tahanan dalam rumah?
“Apatah lagi kalau benar memang wujud nota perkenan supaya Najib dibenarkan tahanan dalam rumah. Mesti ada ketelusan,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan diminta menjelaskan sama ada wujud lampiran rayuan penukaran tempat tahanan Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu dari Penjara Kajang ke tahanan di rumah serta apakah keputusannya.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau difahamkan wujud lampiran supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu ditukarkan tempat tahanan sewaktu membuat rayuan pengampunan.
Mohd. Puad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menyifatkan Perdana Menteri Ke-6 itu tidak sama seperti ahli-ahli politik lain.
“Dia tidak hasut pengikutnya turun ke jalan raya atau buat kacau dalam parti. Dia mengutamakan kestabilan.
Dia tidak mahu ribut-ribut, Malangnya Najib berterusan jadi mangsa politik kerana kebaikannya. Sebab itu pertanyaan Ismail Sabri di parlimen mesti dijawab,” ujarnya.- UTUSAN











