KOTA BHARU: Pas sedia bertanding dan meletakkan calon sekiranya berlaku kekosongan kerusi oleh Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan pindaan perlembagaan parti itu kelmarin.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut perlu menunggu keputusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkait dengan pindaan tersebut.
Menurutnya, berpandukan kepada maklumat daripada pimpinan Bersatu, mana-mana ahli yang keluar atau memberi sokongan kepada parti lain akan terlucut jawatan mereka.
“Proses ini mengambil masa yang agak lama dan kita tidak tahu bila ia akan selesai. Namun jika berlaku PRK, kita bertandinglah,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Bersatu meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu melibatkan beberapa fasal untuk mengekang peralihan sokongan dalam kalangan ahli Parlimennya.
Susulan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menulis surat kepada enam ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata beliau, surat itu bertujuan meminta pengesahan sama ada mereka masih mahu menyokong Perdana Menteri atau sebaliknya.
“Kita akan bawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk diluluskan secepat mungkin dan akan dikuatkuasakan serta-merta,” katanya.
Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN










