KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meneliti semula berkaitan beberapa maklumat yang perlu diisi dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilihat tiada keperluan serta terlalu peribadi.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beberapa maklumat tersebut antara perkara yang perlu diperhalusi selain berkaitan keselamatan data.
Menurut beliau, ada maklumat yang rakyat lihat tidak ada keperluan untuk memasukkan kerana maklumat tersebut telah ada dengan kerajaan atau agensinya.
Sebagai contoh maklumat berkaitan pendapatan, beliau berkata, sebahagian besar rakyat mempunyai rekod pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), maka mengapa kerajaan tidak masukkan maklumat tersebut dan rakyat boleh sahkan.
“Ketiga tentang keperluan untuk mengisi komitmen atau hutang serta insuran. Dalam sistem ini, kena isi pinjaman perumahan, kenderaan, pendidikan,peribadi dan seterusnya maklumat berkaitan insurans.
“Bagi ramai rakyat, maklumat diminta khususnya hutang adalah terlalu peribadi, jadi mereka pun jarang kongsi di mana-mana domain awam.
“Jadi rakyat tertanya-tanya kalau nak isi mengapa perlu isi sampai maklumat tentang hutang, apakah tujuan maklumat ini diminta, adakah mereka yang mempunyai hutang lebih besar akan dapat bantuan lebih tinggi, jadi perkara ini perlu dijelaskan,” katanya semasa sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Radzi berkata, rakyat juga mempersoalkan apakah sebenarnya manfaat yang diperoleh sekiranya mendaftar PADU.
Beliau berkata, jika manfaatnya adalah subsidi bersasar, maka apakah bentuk bantuan, syarat serta jumlah diterima sekiranya memenuhi syarat tersebut.
“Kelima, agensi mana yang akan menggunakan atau mengesahkan data dalam PADU selepas siap dikumpul,” katanya.- UTUSAN










