KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebaliknya mengambil pendekatan progresif dalam konteks subsidi bersasar dan percukaian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GST bersifat cukai penggunaan yang berasas luas.
Justeru, katanya, ia bukanlah masa sesuai untuk memperkenalkan semula memandangkan antara rakyat terutama berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup.
“Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5 peratus, tapi bagi makanan dan minuman hampir lima peratus. Kategori ini yang lebih dirasai rakyat dan antara faktor dikekalkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada enam peratus untuk makanan dan minuman.
“Kerajaan akan terus mengutamakan untuk tambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk perkenalan semula GST,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) berhubung sama ada kerajaan bersedia sekali lagi melaksanakan GST.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga mengambil pendekatan berperingkat bagi memenuhi keperluan meningkatkan hasil negara.
Katanya, ia termasuk meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu.
“Sebagai contoh, walaupun kadar cukai perkhidmatan meningkat dari enam ke lapan peratus, cukai perkhidmatan untuk elektrik hanya dikenakan atas pengguna domestik melebih 600 kilowatt jam (kWj) sejam,” katanya. – UTUSAN










