PARLIMEN: Ada ahli parlimen PN jadi  B40 kerana tiada peruntukan - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Ada ahli parlimen PN jadi  B40 kerana tiada peruntukan

Abdul Latiff  Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mendakwa, terdapat kalangan ahli parlimen gabungan itu termasuk dalam kumpulan B40 selepas tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan. 

Menurut Abdul Latiff  Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Yang di-Pertuan Agong menyeru semua ahli parlimen bersatu hati berganding bahu dan bekerjasama membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. 

“Namun setelah setahun empat bulan di bawah campuran kerajaan PH-BN ini, peruntukan kepada kami yang dipilih oleh rakyat dengan sah tidak pernah diberikan walaupun satu sen. 

“Tentunya ini sangat menyukarkan kami dan rakyat kami. Ada  kalangan kami ahli-ahli parlimen sebelah sini telah jatuh kepada B40 selang beberapa hari elaun masuk, kerana terpaksa diagihkan kepada rakyat terutama di awal musim persekolahan seperti ini,” katanya semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Justeru, Abdul Latiff mengingatkan kerajaan bahawa dunia ibarat roda dan tiada siapa pun kekal selamanya. 

“Sesebuah kerajaan semestinya membesarkan yang kecil tanpa mengecilkan yang besar, menguatkan yang lemah tanpa melemahkan yang kuat, akhirnya yang untung rakyat jelata. 

“Peruntukan yang adil adalah mengikut undang-undang dan janji, bukan semata-mata kerana kebaikan. Jika tidak diberikan ia telah melanggar janji dan mengenepikan hak dan undang-undang,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN