GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli Temiar dari Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini mendedahkan, mereka hanya dapat menikmati hidangan ayam setiap kali agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masuk ke kawasan itu dan mengadakan program.
Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu, 61, berkata, bilangan ahli keluarga yang ramai dan faktor kewangan turut menyebabkan mereka jarang nikmati hidangan berasaskan ayam.
“Bagaimanapun untuk Ramadan kali ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah menyediakan 80 ekor ayam untuk dimasak dan dimakan semasa berbuka puasa.
“Ini memberi kegembiraan kepada penduduk yang sudah lama teringin untuk menikmati hidangan ayam tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Program Kampungku Bersih di Kampung Mendrod di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Angah Alang, 40, memberitahu, setiap kali berbuka puasa hidangan mereka sangat ringkas dan ala kadar sahaja.
Katanya, mereka sangat bersyukur sekiranya program berbuka puasa dilakukan oleh pelbagai agensi di kampung mereka.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, Kampung Mendrod dipilih sebagai lokasi berbuka puasa bagi kampung Orang Asli pada tahun ini.
Katanya, program itu anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pusat Khidmat ADUN Galas untuk meraikan 500 penduduk Orang Asli di Kampung Mendrod.
“Program berbuka puasa ini merupakan antara dakwah yang kita laksanakan kerana Kampung Mendrod ini 50 peratus masyarakatnya beragama Islam.
“Kalau kita adakan pendekatan seperti ini saya yakin ini adalah cara untuk kita menarik minat lebih ramai masyarakat Orang Asli kepada agama Islam,” ujarnya. – UTUSAN











