SEREMBAN: Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini akan sentiasa menjadi tumpuan penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap warga asing oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa pihak berkuasa tidak mengambil apa-apa tindakan sehingga warga asing dilihat menguasai dan mendominasi kawasan perniagaan tersebut.
Beliau malahan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 39 operasi penguatkuasaan telah dilakukan pihaknya di Nilai 3 dengan 171 orang telah diperiksa dan daripadanya seramai 47 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap.
Katanya lagi, dari awal tahun ini sehingga 29 Februari lalu juga, sebanyak lapan operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di kawasan itu dan seramai lima PATI telah ditangkap daripada 40 orang yang diperiksa.
“Di Nilai 3 ini memang ramai warga asing dan mereka ini ramai yang ada permit dan pas untuk dibenarkan bekerja di situ ada juga yang tiada.
“Bagaimanapun kami menghadapi sedikit kesukaran untuk membuktikan ada di antara mereka menyalahgunakan pas bekerja mereka iaitu sebagai contoh mereka ini mendaftar di sektor perladangan tetapi bekerja di kedai karpet.
“Untuk kami membuktikan memang mereka bekerja di situ, perlu ada bukti seperti gambar dan punch card bekerja mereka, kami tidak boleh serbu begitu sahaja kerana mereka boleh mendakwa berada di situ hanya untuk membeli barangan dan tidak menyalahi pas, itu antara kekangan dan operasi kadangkala lambat, kami perlu hantar pegawai untuk membuat risikan termasuk menyamar,” katanya di sini.

Menurut Kennith Tan lagi, kebanyakan kesalahan yang dikesan dilakukan oleh warga asing di kawasan itu adalah tinggal lebih masa.
“Apabila kami dapati mereka tinggal lebih masa, tindakan tangkap akan terus dilakukan dan kalau hasil pemeriksaan mendapati mereka ada Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) namun sudah tamat dan tiada janji temu dengan kami untuk urusan diperbaharui juga kami akan tangkap,” katanya.
Jelas beliau, kawasan Nilai 3 akan terus menjadi sasaran operasi malah ketika ini hampir setiap minggu operasi terhadap warga asing ini dijalankan oleh pihaknya.
“Bagaimanapun kami akan buat operasi secara bersasar tidak lagi secara mega dan besar-besaran, sudah ada premis kedai yang menjadi sasaran hasil daripada risikan dan aduan orang ramai,” katanya yang memberitahu warga Pakistan merupakan majoriti warga asing yang berada di kawasan itu.
Kennith dalam pada itu berkata, secara keseluruhan, pihaknya memberi lebih tumpuan dan penguatkuasaan terhadap lima lokasi hotspot iaitu di daerah ini dan Nilai yang menjadi tumpuan pendatang tanpa izin.-UTUSAN.










