PEKAN: “Alhamdulillah, syukur masih dapat sambut puasa,” ujar Zahari Sidek, 57, salah seorang dari dua nelayan dari Beserah di sini yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di Perairan Pahang, sejak kelmarin.
Zahari dan Zakaria Ramli, 56, ditemukan selamat, awal pagi tadi selepas 36 jam bertarung nyawa di laut apabila bot dinaiki mereka rosak dan dihanyutkan arus sehingga ke Pantai Tanjung Selangor, di sini.
Zahari berkata, ia pengalaman pertama kali buat dirinya dan bersyukur dapat pulang ke pangkuan keluarga sehari sebelum seluruh umat Islam menyambut Ramadan.
“Ia merupakan pengalaman yang pahit buat saya dengan keadaan gelap kerana tiada elektrik selain tiada makanan.
“Saya hanya fikirkan keselamatan kami ketika itu dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Risiko tinggi. Syukur masih dapat pulang dan sambut puasa tahun ini,” katanya di sini hari ini.
Bagi Zahari, kejadian bot rosak dan dihanyutkan arus di laut itu kejadian pertama dialami sejak 30 tahun menjadi nelayan.
Bercerita lanjut, Zakaria pula berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang kira-kira 10 batu nautika ke Jeti Nelayan Kampung Baru Beserah.
“Selepas bot rosak kira-kira pukul 4 petang kelmarin (Sabtu), kami dihanyutkan arus dan pada malam itu hujan lebat dan laut bergelora. Akibatnya, bot kami hanyut ke arah selatan,” katanya.
Bapa enam anak itu juga memberitahu, kedua-dua mereka hanya bertawakal dan berdoa agar terserempak dengan nelayan malangnya disebabkan cuaca buruk tiada bot nelayan yang turun ke laut.
“Berdasarkan arah tiupan angin, saya jangkakan kami akan hanyut ke pantai dan bersyukur kira-kira puk 3 pagi tadi tiba di Tanjung Selangor,” katanya.
Semalam, kedua-dua mereka dilaporkan tidak pulang selepas ke laut untuk memancing ikan sejak pukul 7 pagi kelmarin di Laut China Selatan dekat kawasan Perairan Pahang.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dibantu nelayan tempatan sejurus laporkan kehilangan mereka dibuat.
Kedua-dua mangsa yang ditemukan selamat kemudian dijemput ahli keluarga dan pulang ke Kampung Baru Beserah. – UTUSAN










