SEREMBAN: Pelbagai perkara yang bermain di fikiran apabila disahkan mengalami barah termasuk mengenai kematian.
Itu yang dialami Muhammad Nasrullah Norhisham, dari Taman Kelana, Lenggeng selepas disahkan menghidap barah testis tahap empat.
Pemuda berusia 25 tahun itu memberitahu, pada mulanya dia tidak berasa sakit di bahagian testis namun lama-kelamaan kanser semakin membesar dan membengkak.
“Kemudian saya melakukan pemeriksaan di klinik kesihatan dan menjalani rawatan lanjut di hospital dengan melakukan imbasan CT untuk mengenal pasti saiz dan tahap kanser yang dialami.
“Apabila menjalani imbasan CT pada Februari 2022, baru saya nampak teruknya kanser tersebut. Memang terkejut pada awalnya, dan dua bulan lepas itu, saya terus menjalani pembedahan membuang kanser di Hospital Putrajaya.
“Selepas pembedahan saya juga menjalani dua peringkat sesi kimoterapi dan impak dari menjalani rawatan tersebut menyebabkan pergerakan saya terus terbatas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Pertemuan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia berasa amat sedih kerana tidak menyangka menghidap barah pada usia muda.
“Tapi lama-kelamaan rasa sedih itu sudah lali, dan saya perlu reda dengan ketentuan Allah SWT. Niat dihati saya untuk menabur bakti pada ibu dan juga keluarga, namun untuk ke arah itu saya perlu terus kuat melawan kanser dan doktor yang merawat juga pernah berkata saya boleh pulih,” katanya yang tinggal bersama ibu dan dua adiknya.
Orang ramai atau mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun bank Hong Leong Bank bernombor 20151072042 atas nama Muhammad Nasrullah Norhisham atau boleh hubungi nombor telefon, 017-668 7498. – UTUSAN










