BALING: Seorang peniaga bazar Ramadan di Pekan Baling di sini memperkenalkan kelainan juadah berbuka puasa dengan menawarkan nasi beriani yang dihidangkan bersama pelbagai lauk dalam bekas besar dinamakan ‘nasi timba.’
Nor Asiah Mohd. Tajudin, 40, berkata, hidangan itu adalah makanan harian keluarganya dan idea berniaga nasi timba timbul ketika bersembang dengan adik-beradik lain.
“Kami perhatikan ramai peniaga jual produk mereka macam itu sahaja. Jadi, kami mula fikirkan gaya persembahan yang menarik untuk dijadikan tarikan pelanggan selain rasa nasi dan lauk semestinya perlu sedap,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, setiap pagi dia mula memasak nasi dan lauk-pauk manakala adiknya, Mohd. Hafifi, 31, membantunya menjual di bazar.
Katanya, perniagaan mereka laris pada setiap tahun yang mana hanya dua jam masa diperlukan untuk makanan itu habis terjual.
“Keistimewaan nasi timba ini adalah tambahan pelbagai lauk seperti ayam masak merah, daging dendeng masak hitam, kari kambing, kambing masak varuval dan telur rebus.
“Setiap set dijual pada harga RM19 hingga RM29 dan boleh dimakan untuk tiga orang. Secara purata boleh jual sehingga 200 bekas sehari dan kemuncaknya seminggu menjelang hari raya memang lebih banyak permintaan,” katanya.
Nor Asiah berkata, pengalaman bekerja dalam bidang masakan di hotel dan hospital lebih 20 tahun lalu turut menjadikan nasi timba lebih sedap dan menepati cita rasa orang ramai.
“Resipi ini adalah adunan rempah ratus daripada keluarga saya dan saya tambah ikut cita rasa dan selera orang ramai dan harganya juga masih sama seperti tahun-tahun lalu meskipun harga barangan basah naik,” katanya. – UTUSAN










