MARAN: Ramadan kali ini memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat saudara baharu Islam, Myo Muhammad Abdul Malik, 31, apabila pertama kali berpuasa dalam hidupnya.
Lelaki yang berasal dari Myanmar dan tinggal di negara ini sejak lapan tahun lalu itu memeluk Islam awal tahun ini dan berkahwin dengan gadis Melayu dari Jerantut, Wan Nor Hasleesya Wan
Sallehuddin, 29, pada 24 Februari lalu dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik nama asal Myo Pyae Sone itu berkata, tahun lalu ketika belum berkahwin dan memeluk Islam, dia sudah belajar berpuasa pada bulan Ramadan tapi hanya mampu bertahan separuh hari.
“Alhamdulillah tahun ini saya sudah memeluk Islam dan berkahwin pula dengan gadis Melayu yang cantik mirip gadis Myanmar.
“Saya bertekad menunaikan kewajiban berpuasa dengan sempurna pada bulan Ramadan tahun ini walaupun terpaksa bermandi peluh bekerja di tapak projek perumahan yang merupakan sumber rezeki utama di sini,” katanya di sini.
Myo Muhammad Abdul Malik yang mesra di panggil Myo mengakui sangat teruja berpuasa walaupun agak susah pada permulaannya tetapi selepas dua hari, dia mula dapat menyesuaikan diri dan hilang rasa lapar serta dahaga.
“Perasaan saya gembira dan takut bercampur baur untuk menunaikan rukun Islam ketiga yang menjadi pengalaman pertama dalam hidup.
“Saya juga turut solat sunat tarawih di masjid bersama isteri yang menjadi pembimbing utama mendalami Islam seperti membaca al-Quran, solat dan sebagainya yang berkaitan dengan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Myo mengakui tidak menyangka Wan Nor Hasleesya sanggup menjadi isterinya walaupun pada peringkat awal dia hanya ‘cuba-cuba’ nasib sahaja.
“Sebagai balasan diterima isteri, saya berkorban dengan ikhlas hati memeluk agama Islam meninggalkan ajaran nenek moyang walaupun tidak disenangi oleh keluarga di Myanmar.
“Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan gadis Melayu, jiwa saya begitu tenang menjalani cabaran hidup. Saya bertekad membawa isteri ke Myanmar menemui ibu bapa di sana apabila tiba masa yang sesuai nanti,” katanya.










