PUTRAJAYA: Pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran murid di sekolah rendah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat selepas maklum balas ibu bapa, guru dan pihak berkepentingan mengenai kurikulum semasa.
Menurut beliau, sebelum ini penilaian skor setiap mata pelajaran bagi UASA dipaparkan dalam bentuk tahap penguasaan (TP) iaitu antara TP 1 hingga 6 bagaimanapun ia mencetuskan pertikaian ibu bapa.
“Berlaku pertikaian dalam kalangan ibu bapa yang mempersoal bagaimana mahu ukur prestasi pelajaran anak mereka.
“Sebagai contoh, TP 6 itu apa maksudnya dan selepas ini tiada lagi paparan TP sebaliknya ia dipaparkan dalam bentuk peratus dan gred,” kata beliau dalam sidang akhbar Intervensi Kurikulum di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, TP terus diguna pakai dalam pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) tetapi akan dipermudahkan.
Selain itu, kata beliau, pada sesi persekolahan tahun ini juga, ibu bapa boleh mengakses Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) secara atas talian bagi mengetahui perkembangan dan prestasi anak-anak di sekolah.
PELAPORAN
Menurutnya, akses itu membabitkan pelaporan PBD yang dikeluarkan dua kali setahun dan pelaporan UASA yang diterbitkan pada akhir sesi persekolahan.
“Kami mahu perkenalkan pelaporan mesra ibu bapa supaya mereka ada akses untuk melihat perkembangan anak-anak di sekolah,” katanya.
Katanya, cara penilaian ikut gred dan peratus serta membuka ruang ibu bapa akses SPPB murid bermula tahun ini adalah antara empat intervensi kurikulum Kementerian Pendidikan (KPM) yang digunakan pada sesi akademik 2024/2025 bagi menagani isu keciciran murid.
Sementara itu, kata beliau, inisiatif ketiga ialah pelaksanaan program intervensi bagi mengesan murid Tahun 1 yang lemah kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) mengikut kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran murid.
Beliau berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama ini, guru akan membuat saringan dan pengesanan bagi mengenal pasti tahap penguasaan setiap murid berkenaan.
“Selepas tiga bulan, murid yang dikenal pasti belum menguasi 3M akan diasingkan dan diletakkan bawah program ini selama tiga bulan,” katanya.
Katanya, pihaknya mahu melakukan intervensi awal ke atas murid berkenaan bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah pembelajaran pada masa depan.
GURU
Keempat, Fadhlina berkata, kementerian akan memperluaskan Dokumen Penjajaran KSSR kepada semua guru Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.
Menurut beliau, pihaknya juga menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap 1 yang akan digunakan mula sesi akademik.
“Penjajaran kurikulum ini melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap 1 sedia ada.
“Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul kemudian,” katanya.
Katanya, penataran bagi langkah intervensi ini akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan mulai hari ini.
“Apa kita cuba tangani hari ini adalah implikasi daripada pandangan ibu bapa, guru dan juga semua pemegang taruh berkaitan dengan keprihatinan mereka tentang kurikulum yang sentiasa menjadi isu sebelum ini,” katanya.- UTUSAN










