Mualaf pertaruh nasi daun lemuni di bazar Ramadan

Mualaf pertaruh nasi daun lemuni di bazar Ramadan

NURKHAALISHAH menunjukkan nasi daun lemuni dengan itik panggang yang dijualnya di Bazar Ramadan Syahbandar, Kuala Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang mualaf menyediakan menu nasi daun lemuni dengan itik panggang sebagai juadah utama di Bazar Ramadan Shahbandar di sini.

Nurkhaalishah, 37, berkata, perniagaan yang mula diusahakan di bazar Ramadan itu pada tahun ini mempertaruhkan menu tersebut kerana ia sangat unik dan dipercayai satu-satunya nasi daun lemuni yang ada dijual di Terengganu ketika ini.

Menurutnya, daun lemuni mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan khususnya kepada wanita selepas bersalin dan individu yang menghadapi masalah saraf.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan amat menggalakkan kerana ramai yang mahu mencuba nasi daun lemuni buat kali pertama selepas melihat saya menjualnya di bazar Ramadan.

“Ramai juga berulang membeli kerana rasa daun lemuni yang agak unik ditambah sos pedas yang kami sediakan untuk dimakan dengan itik panggang.

“Memang ramai pengunjung yang akan toleh dua kali setiap kali lalu di depan gerai ini ke­rana saya sengaja gantungkan itik panggang bagi menarik perhatian mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Harga nasi daun lemuni de­ngan itik panggang ialah RM10 manakala nasi bersama gulai itik dijual pada harga RM12.

Nurkhaalishah berkata, setiap hari dia memanggang 15 ekor itik di mana proses memasak dimulakan dengan mencelur itik yang baru disembelih dengan air panas untuk memudahkan proses membuang bulunya.

Katanya, proses mencelur pula dimasukkan dengan sedikit cuka dan maltos untuk menjadikan kulit itik panggang itu garing dan rangup selepas siap nanti.

“Kemudian saya menjemurnya di bawah cahaya matahari selama dua jam sebelum diperap dengan rempah khas seterusnya dipanggang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×