MPS arah KK Supermart Jementah tutup, tak asingkan arak - Utusan Malaysia

MPS arah KK Supermart Jementah tutup, tak asingkan arak

PEGAWAI penguat kuasa MPS, PDRM, Jabatan Agama Islam Daerah Segamat dan KPDN menemukan minuman keras yang tidak diasingkan daripada minuman biasa di KK Supermart cawangan Jementah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT:  Sebuah kedai serbaneka KK Supermart & Superstore (KK Supermart) cawangan Jementah diarah tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) kerana dikesan tidak mengasingkan minuman keras dan minuman biasa di premis itu semalam.

Arahan penutupan cawangan tersebut dibuat susulan pemeriksaan dilakukan yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Daerah Segamat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Pemeriksaan lanjut menemukan minuman keras yang disorok dalam premis tanpa lesen sah daripada MPS sebelum 196 botol minuman keras disita selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 50 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017.

“Premis tersebut diberi arahan menutup operasi serta-merta selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017 kerana dikesan tiada pengasingan dibuat bagi minuman keras dan minuman biasa.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan ke atas premis itu mendapati tiada penjualan atau penyimpanan stoking yang tertera kalimah Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 80 premis perniagaan termasuk rangkaian kedai serbaneka KK Supermart yang dikaitkan dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah dilaporkan diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Operasi bersepadu itu adalah langkah agresif dan segera diambil JAINJ sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenaan kalimah Allah yang perlu sentiasa dimuliakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×